Wednesday, February 18, 2009

Pax Americana

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Apakah Dajjal kekal duduk di Britain selama-lamanya?

Apabila Dajjal berpindah ke fasa penghidupan yang seterusnya di muka bumi, dia juga telah berpindah secara geografinya. Menurut pendapat Sheikh Imran N. Hosein, Dajjal telah selanjutnya berpindah ke Amerika Syarikat.

Lalu katanya, seperti Britain, Amerika Syarikat turut memperlihatkan ciri-ciri yang utama seperti berikut:

1. Amerika Syarikat juga mempunyai ‘hubungan’ yang istimewa dengan Israel.

Amerika Syarikatlah negara pertama di dunia yang mengiktiraf negara haram Israel apabila ia mengisytiharkan ‘kemerdekaan’nya pada tahun 1948.

Sejak itu, Amerika Syarikat telah bertindak sebagai ‘penaung’ kepada Israel pada setiap masa dan ketika, sama ada pada waktu susah mahupun ketika senang (ini sudah pun diketahui umum, bukannya lagi rahsia).

Terkini, Amerika Syarikat tidak menghalang atau mengutuk langsung serangan tidak berperikemanusiaan Israel ke atas Gaza, malah menjadi pemimpin dalam menyokong dan mempertahankan tindakan Israel yang mengganyang sesuka hati bumi Palestin itu.

Amerika Syarikat telah selama ini (dan akan berterusan) menyediakan bantuan besar-besaran kepada Israel, berupa kewangan, ekonomi dan juga ketenteraan (dan ini juga bukan lagi rahsia); sehinggakan jumlah keseluruhan bantuan kepada Israel melebihi jumlah bantuannya kepada negara-negara lain di dunia.

Sebahagian daripada bantuan kepada Israel ini datangnya melalui pintu hadapan, iaitu daripada Kerajaan Amerika Syarikat itu sendiri, namun sebahagian besarnya lagi datang melalui pintu-pintu belakang.

2. Amerika Syarikat menjadi ‘kuasa dunia’.

Amerika Syarikat hadir di sana-sini, di mana-mana sahaja negara di dunia ini, melalui apa jua cara sekalipun – baik dari McDonald’s ke Coca-Cola, Britney Spears ke Spiderman ataupun dari Levi’s ke Marlboro sekalipun.

Gaya hidup ala Amerika Syarikat sudah menjadi gaya hidup masyarakat dunia malah membahayakan lagi, menjadi keperluan bagi kebanyakan orang, yang mana mereka tidak boleh hidup tanpanya, sama seperti mana perlunya manusia pada Microsoft dan Motorola.

Lebih dahsyat lagi, kehadiran tentera Amerika Syarikat, melalui keputusan yang ditentukan oleh presiden yang mendapat ‘restu’ kepimpinan daripada Israel, bebas menerobos sahaja Iraq dan Afghanistan tanpa mampu dihalang oleh sesiapapun.

Masyarakat dunia hanya mampu berteriak berdemonstrasi di jalanan sahaja sambil menonton secara langsung di kaca TV dan Internet akan kehebatan ketenteraan Amerika Syarikat menghancurkan semahu-mahunya negara-negara tersebut.

Sambil kononnya melaungkan perang ke atas keganasan ataupun ‘the war on terror’, Amerika Syarikat sebenarnya menjadi polis dunia dalam menegakkan demokrasi di muka bumi menerusi kalimah Pax Americana, dan melesenkan diri sendiri untuk memerangi sesiapapun yang menentang fahaman mereka.

Sewaktu mula melancarkan ‘peperangan ke atas keganasan’ itu, Bekas Presiden George W. Bush pernah mengugut masyarakat dunia, “Sama ada anda bersama kami atau anda menentang kami!”

3. Amerika Syarikat menguasai ekonomi dunia.

Dalam meneruskan legasi ekonomi riba dunia moden, Amerika Syarikat telah mewarisi pemegang mata wang dunia daripada Britain. Ini telah berlaku dalam tahun 1944 menerusi suatu persidangan di Bretton Woods dalam penubuhan sebuah sistem kewangan antarabangsa yang baru.

Melalui persidangan itu, US Dollar Amerika Syarikat telah menggantikan Pound Sterling British sebagai mata wang dunia yang baru sehingga kini.

Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund) dan Bank Dunia (World Bank) telah menggantikan Bank of England sebagai institusi kewangan yang utama di dunia. Washington juga telah menggantikan London sebagai ibu kota kewangan dunia yang baru, lantas menjadi pusat pengawalan ekonomi dunia.

Sebagai langkah kemajuan dalam perkembangan sistem ekonomi riba, Amerika Syarikat telah memperkenalkan kad kredit pertama di dunia iaitu Diners Club pada tahun 1950. Ia sebenarnya berfungsi sebagai ‘wang’ baru yang digunakan seiring dengan wang kertas dan telah kini digunakan dengan begitu meluas di seluruh dunia.

American Express, Visa dan Mastercard juga berasal dan berpangkalan di Amerika Syarikat.

Maka dalam mentakwilkan hadis Rasulullah s.a.w. (Sahih Muslim) berkenaan Dajjal yang akan hidup di muka bumi selama “...satu hari seperti sebulan...”, fasa yang dimaksudkan itu ialah Dajjal akan hidup di Amerika Syarikat.

Dari situlah dia meneruskan misinya untuk memperdayakan umat manusia, terutamanya orang-orang Yahudi.

Demikianlah.

Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment