Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.
Amma ba’du.
Lalu menurut pendapat Sheikh Imran N. Hosein lagi berhubung mengapakah tempat di mana al-Masih al-Dajjal mula-mula dibebaskan ke dunia ialah Britain:
4. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa zaman Dajjal adalah zaman di mana revolusi sains dan teknologi akan menghambat dunia.
“...Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kepantasan perjalanannya (Dajjal) di atas muka bumi ini? Baginda bersabda: Sepantas awan yang dipukul angin yang kencang...” (Sahih Muslim)
“...Dia (Dajjal) akan menunggang keldai; jarak di antara kedua-dua telinganya (keldai itu) ialah 40 hasta...” (Musnad Imam Ahmad)
“Dia (Dajjal) akan melompat-lompat dia antara langit dan bumi.” (Sunan Abu Daud)
“...Jadi aku datang ke situ (lelaki di atas pulau yang menceritakannya kepada Tamim ad-Dari r.a.) dan menjumpai seorang lelaki (Dajjal) yang sedang meleret-leretkan rambutnya, yang dirantai dengan relang besi, dan melompat-lompat di antara syurga dan neraka...” (Sunan Abu Daud)
Hadis-hadis di atas adalah antara himpunan hadis-hadis yang menerangkan bahawa zaman sains dan teknologi moden itu akan muncul bersama Dajjal. Sememangnya, hadis-hadis tersebut tidaklah boleh ditakwilkan secara harfiah tetapi haruslah difahami maksud-maksud tersirat yang terkandung di dalamnya. Ini kerana, kesemuanya itu bersifat simbolisme agama.
Maka hadis-hadis di atas dengan jelas menghuraikan penggunaan kapal terbang atau pesawat udara oleh Dajjal. Jelaslah, Dajjal akan menguasai ruang udara.
Hadis-hadis tersebut juga menjelaskan tentang penggunaan satelit dalam dunia moden, iaitu perhubungan telekomunikasi yang berlaku secara berulang-alik di antara langit dan bumi. Jelaslah, Dajjal juga menguasai perhubungan telekomunikasi moden.
Lalu apabila dikaji semula sejarah, akan didapati bahawa ‘pulau’ Britainlah yang mendahului perkembangan revolusi sains dan teknologi pada setiap masa dan tahap yang penting lagi bermakna.
5. Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda:
"Dan orang yang paling akhir yang mendatangi Dajjal ialah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki harus mendatangi ibunya, anak perempuannya, saudara perempuannya dan ibu saudaranya, lalu mengikat mereka agar mereka tak datang kepada Dajjal." (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2116)
"Kebanyakan orang yang menyertai Dajjal ialah kaum Yahudi, dan para wanita." (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2214)
Hadis-hadis di atas dengan jelas menerangkan tentang revolusi feminisme yang akan melanda dunia pada zaman Dajjal.
Apabila Dajjal bakal menghampiri kemuncak misinya di muka bumi, kaum wanita akan betul-betul diperdayakan. Apa yang kelihatan kepada mereka sebagai jalan menuju kemajuan, yang mana mereka akan anuti dengan penuh minat sama sekali – yang kelihatan sebagai suatu revolusi terhadap dunia wanita, adalah dengan sebenarnya tipu daya Dajjal semata-mata.
Revolusi feminisme ini, yang kononnya adalah perjuangan untuk pembebasan wanita – menerusi suatu fahaman yang menuntut persamaan hak dengan lelaki, telah dimulakan dan seterusnya didahului pergerakannya oleh Britain.
6. Sewaktu mendarat di pulau yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. itu (sila rujuk kembali tulisan hamba pada 30 Januari 2009), Tamim ad-Dari r.a. dan rombongannya telah bertemu dengan seekor binatang yang mempunyai bulu-bulu panjang yang lebat sehinggakan mereka tidak dapat membezakan antara muka dengan bahagian belakangnya.
Binatang ini menamakan dirinya al-Jassasah.
al-Jassasah dalam bahasa Arab bermaksud mata-mata gelap atau pengintip ataupun perisik.
Sesungguhnya British amat terkenal dalam dunia pengintipan dan perisikan. Sherlock Homes dan James Bond adalah watak-watak fiksyen yang menyamai Lawrence of Arabia, perisik British di Timur Tengah yang telah mendesak ke arah kebangkitan revolusi Arab dalam usaha menumbangkan Khilafah Islam Uthmaniyyah sekitar Perang Dunia Pertama.
7. Selanjutnya, perlulah ditegaskan bahawa kedudukan ‘pulau’ Britain terletak kira-kira 30 hari perjalanan merentasi Laut Mediterranean dari bumi Arab!
Di pulau Britain inilah, Tamim ad-Dari r.a. dan rombongannya telah menjumpai Dajjal dalam keadaan tangannya yang diikat ke leher, dengan kedua-dua pergelangan kakinya yang dirantaikan di dalam sebuah biara, seperti yang telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. itu.
Maka dalam mentakwilkan hadis Rasulullah s.a.w. (Sahih Muslim) berkenaan Dajjal yang akan hidup di muka bumi selama “...satu hari seperti setahun...”, fasa yang dimaksudkan itu ialah Dajjal telah mula-mula hidup dan dibebaskan di pulau yang bernama Britain.
Demikianlah.
Wallahu’alam.
Sunday, February 15, 2009
Mengapakah Dajjal Dibebaskan Di Britain? (II)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment