Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.
Amma ba’du.
Mengapakah Sheikh Imran N. Hosein mentakwilkan bahawa pulau yang dimaksudkan dalam hadis daripada Tamim ad-Dari itu, yakni tempat di mana al-Masih al-Dajjal mula-mula dibebaskan ke dunia ialah Britain?
Menurut beliau dalam bukunya Jerusalem in the Qur'an, pulau itu ialah Britain kerana:
1. Di mana Dajjal berada, tempat itu pastinya akan mempunyai suatu macam obsesi terhadap Tanah Suci (Baitul Maqdis) dan mempunyai suatu bentuk ‘perhubungan’ yang istimewa dengannya (ingat tugas Dajjal sebagai ‘al-Masih Yang Palsu’ yang harus berkuasa dari Baitul Maqdis?). Jadi, begitulah Britain.
Pada tahun 1917, kerajaan ‘pulau’ Britain telah mengeluarkan Deklarasi Balfour di mana ia telah mengisytiharkan akan hasratnya untuk menyokong penubuhan sebuah negara Yahudi di Tanah Suci.
Selanjutnya dalam tahun 1917 sehingga 1918, tentera British yang diketuai oleh Jeneral Allenby telah menumpaskan khilafah terakhir umat Islam, iaitu Khilafah Uthmaniyyah di Turki dan ‘membebaskan’ Tanah Suci daripada pemerintahan Islam.
Dari tahun 1919 sehingga 1948, Britain memerintah Tanah Suci atas dasar mandat yang diberikan oleh Liga Bangsa-Bangsa (the League of Nations, yang kini menjadi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ataupun the United Nations). Waktu inilah dapat disaksikan penghijrahan besar-besaran orang-orang Yahudi ke Tanah Suci.
Akhirnya, adalah kerajaan ‘pulau’ Britain yang memberikan ‘kemerdekaan’ kepada negara yang bernama Israel di Tanah Suci.
Ini semua berlaku menerusi tindakan keganasan ataupun ‘act of terror’.
Terjemahan daripada tulisan Sheikh Imran N. Hosein dalam bukunya Jerusalem in the Qur’an, muka surat 103 adalah seperti berikut:
“Suatu tindakan keganasan dalam musim panas tahun 1914 di kota Sarajevo telah mengakibatkan pembunuhan Arch Duke Franz Ferdinand dari Austria-Hungary. Orang yang melakukannya merupakan seorang yang berbangsa Serbia tetapi bukti-bukti yang ditinggalkan menudingkannya ke Rusia. Sesiapa yang merancang pembunuhan itu, dan meninggalkan bukti-bukti yang menuding Rusia, telah mahukan supaya Austria-Hungary mengisytiharkan perang ke atas Rusia.
Sasaran sebenar pembunuhan itu bukanlah Rusia tetapi sekutu Rusia, iaitu Britain. Empayar Islam Uthmaniyyah merupakan sasaran yang satu lagi. Mereka harus dihancurkan dan Britainlah yang perlu melakukan tugas untuk menghancurkannya.
Apabila Austria-Hungary mengisytiharkan perang ke atas Rusia, Britain dan Perancis dengan segera melibatkan diri dalam peperangan itu untuk menyokong Rusia. Jerman pula bertindak-balas dengan melibatkan diri untuk menyokong Austria-Hungary.
Rancangan di sebalik pembunuhan itu ialah untuk melemahkan ekonomi Britain melalui peperangan sehingga Britain akan akhirnya kehilangan statusnya sebagai kuasa dunia dan akan digantikan dengan kuasa dunia yang lain. Mereka yang melakukan tindakan keganasan itu sangat licik serta jahat sehingga mereka berupaya untuk menyerang Empayar Islam Uthmaniyyah pada masa yang sama.
Empayar Islam Uthmaniyyah masih merupakan halangan yang sukar ke arah pembebasan Tanah Suci, kepulangan orang-orang Yahudi ke sana dan penubuhan kembali sebuah negara Israel. Cara yang terbaik untuk menghilangkan halangan itu ialah menerusi peperangan. Maka Empayar Islam Uthmaniyyah telah dipaksa, melalui suatu kemahiran rancangan dalaman, untuk melibatkan diri dalam peperangan dan menyokong Jerman.
Britain telah akhirnya digunakan untuk menyerang dan menghancurkan bukan sahaja Empayar Islam Uthmaniyyah tetapi juga Kekhalifahan Islam.”
Selanjutnya dalam DVD ceramahnya Dajjal – The False Messiah or Anti-Christ, Sheikh Imran N. Hosein berkata lagi bahawa:
2. Tempat di mana Dajjal berada akan menjadi ‘kuasa dunia’. Begitulah Britain.
Britain, sebuah ‘pulau’ kecil yang tidak terkenal di persisiran pantai Eropah, yang sebelum ini tidak pernah sama sekali menempa nama dalam sejarah telah pada waktu itu memerintah dunia atas kalimah Pax Britannica.
Britain pada waktu kemuncak kekuasaan empayar imperialismenya, telah menguasai setiap lautan di dunia. Pada tahun 1914, British telah menguasai setiap pangkalan tentera laut di dunia dan menikmati kekuasaan laut yang tidak tertanding oleh sesiapapun.
Akibat daripada penguasaan itu, Britain telah turut menguasai perdagangan antarabangsa, penyebaran bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia telah berlaku (yang berlarutan hingga sekarang) dan penggunaan undang-undang ‘Common Law’ British telah diterapkan sebagai undang-undang kebangsaan dalam negara-negara jajahannya (termasuklah Malaysia hingga kini) .
3. Tempat di mana Dajjal berada akan menguasai ekonomi dunia. Begitulah Britain.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa zaman Dajjal (Akhir Zaman) adalah zaman riba.
"Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya.” (Sunan Ibn Majah)
"Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram.” (Sahih Muslim)
Bank of England iaitu bank pusat Britain, pada penubuhannya pada penghujung kurun ke-17, telah menjadi pelopor ke arah usaha penubuhan ekonomi riba dunia moden.
Ia melakukannya bukan hanya melalui cara memberi pinjaman dengan faedah (bunga) tetapi juga melalui menggantikan wang sebenar (wang sunnah – Dinar dan Dirham) dengan wang kertas.
Dengan itu, Bank of England menjadi pemberi pinjam wang dunia dan menjadi pengeluar mata wang kertas dunia.
Maka, seluruh mata wang di dunia telah disandarkan pada mata wang Pound Sterling pada ketika itu.
Dan ekonomi dunia adalah ekonomi yang parasnya ditentukan oleh mereka yang menguasai London.
Wallahu’alam.
Friday, February 13, 2009
Mengapakah Dajjal Dibebaskan Di Britain? (I)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment