Sunday, February 1, 2009

Isa ibn Maryam a.s.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Sudah dua kali kaum Bani Israil (Yahudi) melakukan kerosakan di Tanah Suci (Baitul Maqdis) sebelum menduduki secara haram bumi Palestin pada tahun 1948.

Untuk kedua-dua kalinya itu, mereka dihukum Allah s.w.t. dan untuk kedua-dua kalinya itu juga, hukuman tersebut berupa kehancuran Baitul Maqdis dan pengusiran mereka dari tanah penuh barakah yang telah diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s. dan keturunannya itu.

"Dan telah Kami menyatakan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi (Tanah Suci) ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar. Maka apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama dari kedua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu), dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana." (al-Isra': 4-5)

Dalam hukuman yang pertama, tentera Babylon yang diketuai oleh Nebukadnezar telah menyerang Baitul Maqdis dalam tahun 586 SM, membakar kota itu, membunuh penghuninya dan menghancurkan masjid yang telah dibina oleh Nabi Sulaiman a.s. Manakala golongan yang terbaik daripada bangsa Yahudi telah dibawa lari ke Babylon untuk dijadikan hamba.

Sewaktu perhambaan di Babylon itulah, nabi-nabi telah diutuskan kepada mereka untuk menyampaikan berita gembira tentang janji Allah s.w.t. berhubung kedatangan al-Masih.

al-Masih adalah gelaran bagi seorang nabi yang akan:

1. Diutuskan kepada Bani Israil

2. Memerintah dunia daripada takhta Nabi Daud a.s. (yakni Baitul Maqdis); dan

3. Pemerintahannya itu adalah abadi (yakni kekal selamanya)

Maka menurut Sheikh Imran N. Hosein dalam bukunya Jerusalem in the Qur'an, ini bermakna al-Masih perlulah terlebih dahulu melakukan perkara-perkara yang berikut:

1. Membebaskan Tanah Suci (Baitul Maqdis) daripada pemerintahan mereka yang tidak beriman kepada Tuhan Nabi Ibrahim a.s. (yakni Allah s.w.t.)

2. Membawa kembali kaum yang terpilih (Bani Israil, pada waktu wahyu itu diturunkan) ke Tanah Suci

3. Menubuhkan kembali kerajaan Bani Israil yang telah didirikan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s.; dan

4. Menjadikan kerajaan itu sebagai 'kuasa' yang memerintah dunia

Maka barulah pada ketika itu, al-Masih akan dapat memenuhi tugasnya untuk memerintah dunia dari Baitul Maqdis.

Sesungguhnya, janji Allah s.w.t. itu adalah pasti.

Lalu apabila akhirnya Empayar Parsi berjaya menewaskan Kerajaan Babylon dalam tahun 539 SM dan membebaskan Baitul Maqdis, kaum Bani Israil telah dikembalikan semula ke Tanah Suci dan masjid yang telah dahulunya dihancurkan itu akhirnya dibina semula.

Apabila ini berlaku, orang-orang Yahudi berasa sangat gembira. Tentunya al-Masih bakal tiba tidak lama lagi.

Masalahnya cuma, apabila al-Masih akhirnya tiba, sebahagian kecil daripada mereka telah dapat menerimanya namun, sebahagian besar daripada mereka, terutamanya di kalangan golongan atasan yang terdiri daripada alim ulama, tidak pula dapat menerimanya.

Mereka tidak mempercayai bahawa Isa ibn Maryam a.s. adalah al-Masih seperti yang dijanjikan itu. Kata mereka, Siti Maryam r.a. telah melakukan perzinaan – dia tidak pernah bernikah; dan oleh itu, anaknya Nabi Isa a.s. adalah anak haram (na'auzubillahi min zalik).

Setelah mereka menyaksikan pula Nabi Isa a.s. 'mati' disalib, semakin mereka tidak mempercayai bahawa baginda adalah al-Masih. Kata mereka, Nabi Isa a.s. tidakpun memerintah daripada takhta Nabi Daud a.s. jadi mana mungkin dia adalah al-Masih.

Lalu, untuk selama kira-kira 600 tahun, tiada sesiapapun yang mengetahui bahawa sebenarnya Nabi Isa a.s. tidak wafat sama sekali, sehinggalah kedatangan rasul terakhir, Nabi Muhammad s.a.w. untuk membawa kebenaran.

Walau bagaimanapun, setelah kebenaran itu akhirnya disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda juga wafat selepas kira-kira 1,400 tahun setelah itu, bangsa Yahudi masih hingga kini menunggu kedatangan al-Masih mereka, untuk akhirnya memerintah dunia daripada Baitul Maqdis dan seterusnya untuk mengembalikan Zaman Emas kerajaan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s. untuk mereka.

Tetapi betulkah kepercayaan mereka itu?

Maka sekarang tibalah masanya pula untuk kita mengenali siapa itu Dajjal.

Wallahu'alam.

2 comments:

  1. Assalaamualaikum Ibn Arifin
    Tahniah atas artikel2 yang bermanfaat!
    Akan saya cuba teruskan membaca pada masa akan datang. Cuma saya rasa elok disertakan bahan rujukan di bawah artikel, supaya 'kesahihan' fakta yang diutarakan di sini tidak boleh disangkal.
    Apa-apa hal, jazakAllahu khair!

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

    Terima kasih kerana membaca, Warung Kampung.

    Semoga tuan hamba dapat juga menghebahkannya kepada rakan taulan agar kebenaran dapat lebih tersebar. Semoga usaha tuan hamba itu diberkati Allah s.w.t., insya Allah.

    Seperti yang hamba pernah nyatakan dalam Muqaddimah pada 26 Januari yang lalu, tulisan hamba adalah berdasarkan tafasiran al-Quran dan Ahadith.

    Selain itu buat masa ini, ia juga adalah bersumberkan pada pemikiran Sheikh Imran N. Hosein, terutamanya melalui bukunya 'Jerusalem in the Qur'an'.

    Walau bagaimanapun, terima kasih atas cadangan yang diberikan.

    Terima kasih daun keladi.

    Wassalam.

    ReplyDelete