Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.
Amma ba’du.
“Apabila Dajjal dibebaskan, dia akan hidup di muka bumi selama empat puluh hari; satu hari seperti setahun, satu hari seperti sebulan, satu hari seperti seminggu, dan hari-hari seterusnya sama seperti hari kamu.” (Sahih Muslim)
Apakah maksud hadis di atas?
Untuk memahaminya, kita perlu mengetahui sebuah lagi hadis Rasulullah s.a.w. tentang Dajjal. Hadis ini juga terkenal dengan panggilannya sebagai Hadis Tamim ad-Dari:
“Setelah Rasulullah s.a.w. selesai solatnya, baginda duduk di atas mimbar, tersenyum, dan bersabda: Hendaklah setiap orang kekal duduk di tempatnya.
Selanjutnya baginda bersabda: Apakah kamu semua mengetahui sebab aku mengumpulkan kamu? Mereka menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Beliau bersabda: Demi Allah, aku tidak mengumpulkan kamu semua kerana ada pengharapan ataupun ketakutan. Aku mengumpulkan kamu kerana Tamim ad-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani, telah datang untuk berbaiah masuk Islam. Dia menceritakan kepadaku seperti apa yang telah aku sampaikan kepada kamu tentang Dajjal.
Dia menceritakan kepadaku bahawa dia telah belayar dalam sebuah kapal bersama tiga puluh orang dari Bani Lakhm dan Bani Judzam dan telah dihanyutkan ombak di lautan selama sebulan. Kemudian (ombak) itu membawa mereka (menghampiri) daratan (pulau) di lautan pada waktu terbenam matahari. Mereka menaiki sebuah perahu kecil dan mendarat di pulau itu. Terdapat seekor binatang yang mempunyai bulu-bulu panjang yang lebat (dan kerana ini) mereka tidak dapat membezakan antara muka dengan bahagian belakangnya.
Mereka berkata: Celaka kamu, siapakah kamu ini? Binatang itu menjawab: Aku ialah al-Jassasah. Mereka bertanya: Apakah al-Jassasah? Ia menjawab: Wahai kaum, pergilah kepada orang ini yang berada di dalam biara kerana dia sangat-sangat ingin mengetahui tentang kamu. Tamim ad-Dari berkata: Ketika binatang itu menyebutkan kami tentang seseorang, kami menakutinya kalau-kalau dia adalah Iblis.
Kemudian kami berangkat segera sehingga kami sampai ke biara tersebut dan menjumpai di dalamnya seseorang manusia yang berbadan tegap dengan tangannya diikat ke leher dan rantai besi menggenggam kedua pergelangan kakinya. Kami berkata: Celaka ke atas kamu, siapakah kamu ini? Dia berkata: Kamu kelak akan mengetahui perihal diriku tetapi beritahu kepadaku, siapakah kamu?
Mereka menjawab: Kami adalah orang Arab dan kami menaiki sebuah kapal tetapi dihanyutkan ombak di lautan selama sebulan sehingga menghampiri pulau ini. Kami menaiki perahu dan mendarat di pulau ini. Di sini, kami didatangi seekor binatang yang berbulu lebat dan kerana itu, mukanya tidak dapat dibezakan dengan bahagian belakangnya. Kami berkata: Celaka kamu, siapakah kamu ini? Binatang itu menjawab: Aku ialah al-Jassasah. Kami bertanya: Apakah al-Jassasah? Ia menjawab: Pergilah kepada orang ini yang berada di dalam biara kerana dia sangat-sangat ingin mengetahui tentang kamu. Jadi kami bersegera mendatangi kamu kerana menakuti kalau-kalau dia adalah Iblis.
Dia (orang yang dirantai itu) berkata: Beritahu kepadaku tentang pohon-pohon kurma Baysan. Kami bertanya: Apa tentangnya yang ingin kamu ketahui? Dia menjawab: Aku bertanya kepada kamu apakah pohon-pohon itu berbuah atau tidak. Kami menjawab: Ya. Dia berkata: Aku fikir ia tidak akan berbuah.
Dia berkata: Beritahu kepadaku tentang Tasik Tabariyyah! Kami bertanya: Apa tentangnya yang ingin kamu ketahui? Dia bertanya: Apakah ada air di dalamnya ? Mereka menjawab: Terdapat banyak air di dalamnya. Dia berkata: Aku fikir ia akan kering tidak lama lagi.
Dia berkata: Beritahu kepadaku tentang mata air Zughar! Mereka bertanya: Apa tentangnya yang ingin kamu ketahui? Dia (orang yang dirantai itu) bertanya: Apakah ia memancarkan air dan adakah ia mengairi (tanah)? Kami menjawab: Ya, terdapat banyak air di dalamnya dan penduduk (Madinah) mengairi (tanah) dengannya.
Dia berkata: Terangkan kepadaku tentang nabi yang tidak boleh membaca; apakah yang telah dilakukannya? Kami berkata: Dia telah meninggalkan Mekah dan telah menetap di Yathrib (Madinah). Dia bertanya: Apakah orang-orang Arab memusuhinya? Kami menjawab: Ya. Dia bertanya: Bagaimana dia menangani mereka? Kami memberitahunya bahawa dia telah menundukkan mereka yang di sekitarnya dan mereka telah menyerahkan diri mereka kepadanya. Dia bertanya kepada kami: Sudahkah ia berlaku? Kami menjawab: Ya. Dia berkata: Kalau begitu, adalah lebih baik bagi mereka untuk menunjukkan ketaatan kepadanya.
Aku akan memberitahu kepada kamu tentang diriku. Aku adalah Dajjal dan akan diizinkan untuk pergi tidak lama lagi. Jadi, aku akan pergi dan berjalan di muka bumi, dan tidak akan meninggalkan sebarang kota di mana aku tidak akan memasukinya selama empat puluh malam melainkan Mekah dan Tauba (Madinah). Kedua-dua (tempat) itu (kawasannya) diharamkan ke atasku dan aku tidak akan cuba untuk memasuki mana-mana pun di antaranya. Seorang malaikat dengan pedang di tangannya akan menghadapiku dan menghalang perjalananku dan akan ada malaikat-malaikat yang menjaga setiap jalan yang menuju ke arahnya.
Kemudian Rasulullah s.a.w. memukul mimbar dengan hujung tongkatnya sambil bersabda: lni bermaksud Tayba, yakni Madinah. Bukankah aku pernah memberitahu kepada kamu kisah (tentang Dajjal) seperti ini? Orang ramai menjawab: Benar.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Dan kisah yang diceritakan oleh Tamim ad-Dari ini aku sukai kerana ia membenarkan kisah yang aku berikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) di Madinah dan Mekah. Ketahuilah, dia (Dajjal) itu berada di Laut Syam (Mediterranean) atau di Laut Yaman. Bukan, sebaliknya dia berada di timur, dia di timur, dia di timur, dan baginda menunjuk dengan jarinya ke arah timur.” (Sahih Muslim)
Apakah pula maksud hadis di atas?
Untuk mengetahuinya, kita perlu terlebih dahulu mengenali siapa itu Dajjal.
Namun untuk mengenali Dajjal, kita haruslah terlebih dahulu mengenali pula siapa Isa ibn Maryam a.s. atau al-Masih gelarannya, iaitu rasul terakhir yang diutuskan di muka bumi sebelum Nabi Muhammad s.a.w.
Wallahu’alam.
Friday, January 30, 2009
Siapakah Dajjal?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment