Monday, January 26, 2009

Muqaddimah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan hidayah serta taufik-Nya, kesempatan serta kemudahan diberikan untuk ruangan ini dimulakan. Sesungguhnya tidak ada upaya dan kekuatan melainkan dengan kuasa Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar.

Penulisan ini adalah kesan daripada perasaan yang terlalu pilu serta marah yang sudah tidak lagi dapat dibendung akibat saban hari menatap jeritan kesengsaraan anak-anak Palestin yang makin menyarak di Gaza, meskipun pada saat ruangan ini dimulakan, sudah terlalu ramai saudara semuslim di sana yang telah menjadi mangsa korban dan kecederaan akibat kecamukan binatang buas yang bernama Israel; dan meskipun, pada saat ruangan ini akhirnya dapat diterbitkan, sesuatu yang kononnya digelar sebagai ‘gencatan senjata’ sedang dikuatkuasakan di sana.

Walau bagaimanapun, kebenaran tetap perlu dinyatakan – seperti yang terkandung di dalam al-Qur’an dan Ahadith – melalui tafsiran yang dapat memberi petunjuk terhadap ibu segala fitnah yang sedang berlaku pada akhir zaman ini, insya Allah.

Kerana sesungguhnya, al-Qur’an itu menjelaskan segala-galanya.

“Dan kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (an-Nahl: 89)

Terutama dalam kekalutan dunia yang semakin bercelaru dan menjadi-jadi ini, semakin kita perlu berpaut teguh pada kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Qur’an dan sunnahku.” (Sahih Bukhari)

Sukacita juga dinyatakan bahawa rujukan di sini adalah turut bersumberkan pada pemikiran seorang mutiara ulama Islam yang amat dihormati, yang ahli dalam persoalan akhir zaman ini, iaitu Sheikh Imran N. Hosein. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan limpah rahmat yang berpanjangan kepadanya. Amin.

Maka sengaja ruangan ini ditulis di dalam bahasa Melayu kerana sasaran kebenaran ini adalah kepada umat Muslim di daerah sini.

Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment