Saturday, February 28, 2009

Dajjal Akan Hidup 40 Hari


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Lalu apabila sudah dijelaskan satu-persatu maksud hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan “...satu hari seperti setahun...”, “...satu hari seperti sebulan...” dan juga “...satu hari seperti seminggu...”, maka bolehlah disimpulkan hadis tersebut seperti dalam gambaran grafik di atas.

Maka sekarang tinggal pula huraian berkenaan “...dan hari-hari seterusnya sama seperti hari kamu”, yang mana akan dijelaskan kemudian, bila mana sampai masanya kelak, seperti mana yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Insya Allah.

Wallahu’alam.

Baca lagi...

Monday, February 23, 2009

“...Satu Hari Seperti Seminggu...”

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Apabila Dajjal berpindah ke fasa penghidupan yang seterusnya di muka bumi iaitu “...satu hari seperti seminggu...”, dia juga akan sekali lagi berpindah secara geografinya.

Sheikh Imran N. Hosein berpendapat bahawa Dajjal akan selanjutnya berpindah ke destinasinya yang sebenar, yang ditunggu-tunggu dalam usaha untuk menyempurnakan misinya, iaitu Israel.

Perpindahan geografi ini akan menandakan bahawa Dajjal akan benar-benar hampir dengan kemuncak perjuangannya untuk memperdayakan umat manusia, khususnya orang-orang Yahudi.

Ingat lagi apabila hamba nyatakan pada 3 Februari 2009 bahawa Dajjal, dalam penyamarannya sebagai al-Masih yang ditunggu-tunggu, yang dicipta Allah s.w.t. bersama misi untuk menghukum orang-orang Yahudi yang telah menolak keimanan kepada Rasulullah s.a.w. dan ajaran Islam yang dibawanya itu, harus melakukan perkara-perkara berikut:

1. Membebaskan Tanah Suci (Baitul Maqdis) daripada pemerintahan mereka yang bukan daripada bangsa yang terpilih (yang tidak menyembah Tuhan Nabi Ibrahim a.s.)

2. Membawa kembali kaum yang terpilih itu ke Tanah Suci

3. Menubuhkan kembali kerajaan Bani Israil yang telah didirikan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s.

4. Menjadikan kerajaan itu sebagai 'kuasa' yang memerintah dunia; lalu kemuncaknya

5. Sebagai raja dia haruslah memerintah dunia daripada ibu kota pemerintahan itu, yakni Baitul Maqdis (Jerusalem)

Maka menerusi fasa “...satu hari seperti setahun...” dan “...satu hari seperti sebulan...”, Dajjal telah menyempurnakan tugasan 1. hingga 3. di atas menerusi proksinya Britain dan Amerika Syarikat yang telah memerintah dunia dengan kekuasaan luar biasa mereka.

Dan sebenarnya ‘pembebasan’ Tanah Suci adalah kononnya pembebasannya daripada pemerintahan orang-orang yang bukan Yahudi, kaum terpilih yang harus ‘dibawa’ kembali ke Tanah Suci itu ialah kaum Bani Israil, dan ‘kerajaan’ yang harus didirikan itu, yang kononnya didirikan atas asas kerajaan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s., ialah sebenarnya Kerajaan Negara (Haram) Israel.

Itulah yang telah dilakukan dengan jayanya oleh al-Masih al-Dajjal selama ini.

Lalu apabila kerajaan yang terpilih itu sudah pun didirikan sekarang (sejak tahun 1948), maka yang perlu dilakukan oleh Dajjal seterusnya ialah untuk menyempurnakan no 4. di atas, yakni dengan menjadikan kerajaan itu sebagai ‘kuasa’ yang memerintah dunia.

Dan ini hanyalah bisa dilakukan apabila Dajjal secara geografinya, berpindah ke negara Israel itu. Di situlah pusat sebenar di mana tapak tipu daya Dajjal ke atas umat manusia secara hakiki perlu berlaku.

Maka dengan itu, dalam mentakwilkan hadis Rasulullah s.a.w. (Sahih Muslim) berkenaan Dajjal yang akan hidup di muka bumi selama “...satu hari seperti seminggu...”, sesungguhnya fasa yang dimaksudkan itu ialah Dajjal akan hidup di Israel. Dari situlah dia akan meneruskan ‘serangan’nya ke atas umat manusia.

Demikianlah.

Wallahu’alam.

Baca lagi...

Wednesday, February 18, 2009

Pax Americana

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Apakah Dajjal kekal duduk di Britain selama-lamanya?

Apabila Dajjal berpindah ke fasa penghidupan yang seterusnya di muka bumi, dia juga telah berpindah secara geografinya. Menurut pendapat Sheikh Imran N. Hosein, Dajjal telah selanjutnya berpindah ke Amerika Syarikat.

Lalu katanya, seperti Britain, Amerika Syarikat turut memperlihatkan ciri-ciri yang utama seperti berikut:

1. Amerika Syarikat juga mempunyai ‘hubungan’ yang istimewa dengan Israel.

Amerika Syarikatlah negara pertama di dunia yang mengiktiraf negara haram Israel apabila ia mengisytiharkan ‘kemerdekaan’nya pada tahun 1948.

Sejak itu, Amerika Syarikat telah bertindak sebagai ‘penaung’ kepada Israel pada setiap masa dan ketika, sama ada pada waktu susah mahupun ketika senang (ini sudah pun diketahui umum, bukannya lagi rahsia).

Terkini, Amerika Syarikat tidak menghalang atau mengutuk langsung serangan tidak berperikemanusiaan Israel ke atas Gaza, malah menjadi pemimpin dalam menyokong dan mempertahankan tindakan Israel yang mengganyang sesuka hati bumi Palestin itu.

Amerika Syarikat telah selama ini (dan akan berterusan) menyediakan bantuan besar-besaran kepada Israel, berupa kewangan, ekonomi dan juga ketenteraan (dan ini juga bukan lagi rahsia); sehinggakan jumlah keseluruhan bantuan kepada Israel melebihi jumlah bantuannya kepada negara-negara lain di dunia.

Sebahagian daripada bantuan kepada Israel ini datangnya melalui pintu hadapan, iaitu daripada Kerajaan Amerika Syarikat itu sendiri, namun sebahagian besarnya lagi datang melalui pintu-pintu belakang.

2. Amerika Syarikat menjadi ‘kuasa dunia’.

Amerika Syarikat hadir di sana-sini, di mana-mana sahaja negara di dunia ini, melalui apa jua cara sekalipun – baik dari McDonald’s ke Coca-Cola, Britney Spears ke Spiderman ataupun dari Levi’s ke Marlboro sekalipun.

Gaya hidup ala Amerika Syarikat sudah menjadi gaya hidup masyarakat dunia malah membahayakan lagi, menjadi keperluan bagi kebanyakan orang, yang mana mereka tidak boleh hidup tanpanya, sama seperti mana perlunya manusia pada Microsoft dan Motorola.

Lebih dahsyat lagi, kehadiran tentera Amerika Syarikat, melalui keputusan yang ditentukan oleh presiden yang mendapat ‘restu’ kepimpinan daripada Israel, bebas menerobos sahaja Iraq dan Afghanistan tanpa mampu dihalang oleh sesiapapun.

Masyarakat dunia hanya mampu berteriak berdemonstrasi di jalanan sahaja sambil menonton secara langsung di kaca TV dan Internet akan kehebatan ketenteraan Amerika Syarikat menghancurkan semahu-mahunya negara-negara tersebut.

Sambil kononnya melaungkan perang ke atas keganasan ataupun ‘the war on terror’, Amerika Syarikat sebenarnya menjadi polis dunia dalam menegakkan demokrasi di muka bumi menerusi kalimah Pax Americana, dan melesenkan diri sendiri untuk memerangi sesiapapun yang menentang fahaman mereka.

Sewaktu mula melancarkan ‘peperangan ke atas keganasan’ itu, Bekas Presiden George W. Bush pernah mengugut masyarakat dunia, “Sama ada anda bersama kami atau anda menentang kami!”

3. Amerika Syarikat menguasai ekonomi dunia.

Dalam meneruskan legasi ekonomi riba dunia moden, Amerika Syarikat telah mewarisi pemegang mata wang dunia daripada Britain. Ini telah berlaku dalam tahun 1944 menerusi suatu persidangan di Bretton Woods dalam penubuhan sebuah sistem kewangan antarabangsa yang baru.

Melalui persidangan itu, US Dollar Amerika Syarikat telah menggantikan Pound Sterling British sebagai mata wang dunia yang baru sehingga kini.

Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund) dan Bank Dunia (World Bank) telah menggantikan Bank of England sebagai institusi kewangan yang utama di dunia. Washington juga telah menggantikan London sebagai ibu kota kewangan dunia yang baru, lantas menjadi pusat pengawalan ekonomi dunia.

Sebagai langkah kemajuan dalam perkembangan sistem ekonomi riba, Amerika Syarikat telah memperkenalkan kad kredit pertama di dunia iaitu Diners Club pada tahun 1950. Ia sebenarnya berfungsi sebagai ‘wang’ baru yang digunakan seiring dengan wang kertas dan telah kini digunakan dengan begitu meluas di seluruh dunia.

American Express, Visa dan Mastercard juga berasal dan berpangkalan di Amerika Syarikat.

Maka dalam mentakwilkan hadis Rasulullah s.a.w. (Sahih Muslim) berkenaan Dajjal yang akan hidup di muka bumi selama “...satu hari seperti sebulan...”, fasa yang dimaksudkan itu ialah Dajjal akan hidup di Amerika Syarikat.

Dari situlah dia meneruskan misinya untuk memperdayakan umat manusia, terutamanya orang-orang Yahudi.

Demikianlah.

Wallahu’alam.

Baca lagi...

Sunday, February 15, 2009

Mengapakah Dajjal Dibebaskan Di Britain? (II)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Lalu menurut pendapat Sheikh Imran N. Hosein lagi berhubung mengapakah tempat di mana al-Masih al-Dajjal mula-mula dibebaskan ke dunia ialah Britain:

4. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa zaman Dajjal adalah zaman di mana revolusi sains dan teknologi akan menghambat dunia.

“...Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kepantasan perjalanannya (Dajjal) di atas muka bumi ini? Baginda bersabda: Sepantas awan yang dipukul angin yang kencang...” (Sahih Muslim)

“...Dia (Dajjal) akan menunggang keldai; jarak di antara kedua-dua telinganya (keldai itu) ialah 40 hasta...” (Musnad Imam Ahmad)

“Dia (Dajjal) akan melompat-lompat dia antara langit dan bumi.” (Sunan Abu Daud)

“...Jadi aku datang ke situ (lelaki di atas pulau yang menceritakannya kepada Tamim ad-Dari r.a.) dan menjumpai seorang lelaki (Dajjal) yang sedang meleret-leretkan rambutnya, yang dirantai dengan relang besi, dan melompat-lompat di antara syurga dan neraka...” (Sunan Abu Daud)

Hadis-hadis di atas adalah antara himpunan hadis-hadis yang menerangkan bahawa zaman sains dan teknologi moden itu akan muncul bersama Dajjal. Sememangnya, hadis-hadis tersebut tidaklah boleh ditakwilkan secara harfiah tetapi haruslah difahami maksud-maksud tersirat yang terkandung di dalamnya. Ini kerana, kesemuanya itu bersifat simbolisme agama.

Maka hadis-hadis di atas dengan jelas menghuraikan penggunaan kapal terbang atau pesawat udara oleh Dajjal. Jelaslah, Dajjal akan menguasai ruang udara.

Hadis-hadis tersebut juga menjelaskan tentang penggunaan satelit dalam dunia moden, iaitu perhubungan telekomunikasi yang berlaku secara berulang-alik di antara langit dan bumi. Jelaslah, Dajjal juga menguasai perhubungan telekomunikasi moden.

Lalu apabila dikaji semula sejarah, akan didapati bahawa ‘pulau’ Britainlah yang mendahului perkembangan revolusi sains dan teknologi pada setiap masa dan tahap yang penting lagi bermakna.

5. Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda:

"Dan orang yang paling akhir yang mendatangi Dajjal ialah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki harus mendatangi ibunya, anak perempuannya, saudara perempuannya dan ibu saudaranya, lalu mengikat mereka agar mereka tak datang kepada Dajjal." (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2116)

"Kebanyakan orang yang menyertai Dajjal ialah kaum Yahudi, dan para wanita." (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2214)

Hadis-hadis di atas dengan jelas menerangkan tentang revolusi feminisme yang akan melanda dunia pada zaman Dajjal.

Apabila Dajjal bakal menghampiri kemuncak misinya di muka bumi, kaum wanita akan betul-betul diperdayakan. Apa yang kelihatan kepada mereka sebagai jalan menuju kemajuan, yang mana mereka akan anuti dengan penuh minat sama sekali – yang kelihatan sebagai suatu revolusi terhadap dunia wanita, adalah dengan sebenarnya tipu daya Dajjal semata-mata.

Revolusi feminisme ini, yang kononnya adalah perjuangan untuk pembebasan wanita – menerusi suatu fahaman yang menuntut persamaan hak dengan lelaki, telah dimulakan dan seterusnya didahului pergerakannya oleh Britain.

6. Sewaktu mendarat di pulau yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. itu (sila rujuk kembali tulisan hamba pada 30 Januari 2009), Tamim ad-Dari r.a. dan rombongannya telah bertemu dengan seekor binatang yang mempunyai bulu-bulu panjang yang lebat sehinggakan mereka tidak dapat membezakan antara muka dengan bahagian belakangnya.

Binatang ini menamakan dirinya al-Jassasah.

al-Jassasah dalam bahasa Arab bermaksud mata-mata gelap atau pengintip ataupun perisik.

Sesungguhnya British amat terkenal dalam dunia pengintipan dan perisikan. Sherlock Homes dan James Bond adalah watak-watak fiksyen yang menyamai Lawrence of Arabia, perisik British di Timur Tengah yang telah mendesak ke arah kebangkitan revolusi Arab dalam usaha menumbangkan Khilafah Islam Uthmaniyyah sekitar Perang Dunia Pertama.

7. Selanjutnya, perlulah ditegaskan bahawa kedudukan ‘pulau’ Britain terletak kira-kira 30 hari perjalanan merentasi Laut Mediterranean dari bumi Arab!

Di pulau Britain inilah, Tamim ad-Dari r.a. dan rombongannya telah menjumpai Dajjal dalam keadaan tangannya yang diikat ke leher, dengan kedua-dua pergelangan kakinya yang dirantaikan di dalam sebuah biara, seperti yang telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. itu.

Maka dalam mentakwilkan hadis Rasulullah s.a.w. (Sahih Muslim) berkenaan Dajjal yang akan hidup di muka bumi selama “...satu hari seperti setahun...”, fasa yang dimaksudkan itu ialah Dajjal telah mula-mula hidup dan dibebaskan di pulau yang bernama Britain.

Demikianlah.

Wallahu’alam.

Baca lagi...

Friday, February 13, 2009

Mengapakah Dajjal Dibebaskan Di Britain? (I)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Mengapakah Sheikh Imran N. Hosein mentakwilkan bahawa pulau yang dimaksudkan dalam hadis daripada Tamim ad-Dari itu, yakni tempat di mana al-Masih al-Dajjal mula-mula dibebaskan ke dunia ialah Britain?

Menurut beliau dalam bukunya Jerusalem in the Qur'an, pulau itu ialah Britain kerana:

1. Di mana Dajjal berada, tempat itu pastinya akan mempunyai suatu macam obsesi terhadap Tanah Suci (Baitul Maqdis) dan mempunyai suatu bentuk ‘perhubungan’ yang istimewa dengannya (ingat tugas Dajjal sebagai ‘al-Masih Yang Palsu’ yang harus berkuasa dari Baitul Maqdis?). Jadi, begitulah Britain.

Pada tahun 1917, kerajaan ‘pulau’ Britain telah mengeluarkan Deklarasi Balfour di mana ia telah mengisytiharkan akan hasratnya untuk menyokong penubuhan sebuah negara Yahudi di Tanah Suci.

Selanjutnya dalam tahun 1917 sehingga 1918, tentera British yang diketuai oleh Jeneral Allenby telah menumpaskan khilafah terakhir umat Islam, iaitu Khilafah Uthmaniyyah di Turki dan ‘membebaskan’ Tanah Suci daripada pemerintahan Islam.

Dari tahun 1919 sehingga 1948, Britain memerintah Tanah Suci atas dasar mandat yang diberikan oleh Liga Bangsa-Bangsa (the League of Nations, yang kini menjadi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ataupun the United Nations). Waktu inilah dapat disaksikan penghijrahan besar-besaran orang-orang Yahudi ke Tanah Suci.

Akhirnya, adalah kerajaan ‘pulau’ Britain yang memberikan ‘kemerdekaan’ kepada negara yang bernama Israel di Tanah Suci.

Ini semua berlaku menerusi tindakan keganasan ataupun ‘act of terror’.

Terjemahan daripada tulisan Sheikh Imran N. Hosein dalam bukunya Jerusalem in the Qur’an, muka surat 103 adalah seperti berikut:

“Suatu tindakan keganasan dalam musim panas tahun 1914 di kota Sarajevo telah mengakibatkan pembunuhan Arch Duke Franz Ferdinand dari Austria-Hungary. Orang yang melakukannya merupakan seorang yang berbangsa Serbia tetapi bukti-bukti yang ditinggalkan menudingkannya ke Rusia. Sesiapa yang merancang pembunuhan itu, dan meninggalkan bukti-bukti yang menuding Rusia, telah mahukan supaya Austria-Hungary mengisytiharkan perang ke atas Rusia.

Sasaran sebenar pembunuhan itu bukanlah Rusia tetapi sekutu Rusia, iaitu Britain. Empayar Islam Uthmaniyyah merupakan sasaran yang satu lagi. Mereka harus dihancurkan dan Britainlah yang perlu melakukan tugas untuk menghancurkannya.

Apabila Austria-Hungary mengisytiharkan perang ke atas Rusia, Britain dan Perancis dengan segera melibatkan diri dalam peperangan itu untuk menyokong Rusia. Jerman pula bertindak-balas dengan melibatkan diri untuk menyokong Austria-Hungary.

Rancangan di sebalik pembunuhan itu ialah untuk melemahkan ekonomi Britain melalui peperangan sehingga Britain akan akhirnya kehilangan statusnya sebagai kuasa dunia dan akan digantikan dengan kuasa dunia yang lain. Mereka yang melakukan tindakan keganasan itu sangat licik serta jahat sehingga mereka berupaya untuk menyerang Empayar Islam Uthmaniyyah pada masa yang sama.

Empayar Islam Uthmaniyyah masih merupakan halangan yang sukar ke arah pembebasan Tanah Suci, kepulangan orang-orang Yahudi ke sana dan penubuhan kembali sebuah negara Israel. Cara yang terbaik untuk menghilangkan halangan itu ialah menerusi peperangan. Maka Empayar Islam Uthmaniyyah telah dipaksa, melalui suatu kemahiran rancangan dalaman, untuk melibatkan diri dalam peperangan dan menyokong Jerman.

Britain telah akhirnya digunakan untuk menyerang dan menghancurkan bukan sahaja Empayar Islam Uthmaniyyah tetapi juga Kekhalifahan Islam.”


Selanjutnya dalam DVD ceramahnya Dajjal – The False Messiah or Anti-Christ, Sheikh Imran N. Hosein berkata lagi bahawa:

2. Tempat di mana Dajjal berada akan menjadi ‘kuasa dunia’. Begitulah Britain.

Britain, sebuah ‘pulau’ kecil yang tidak terkenal di persisiran pantai Eropah, yang sebelum ini tidak pernah sama sekali menempa nama dalam sejarah telah pada waktu itu memerintah dunia atas kalimah Pax Britannica.

Britain pada waktu kemuncak kekuasaan empayar imperialismenya, telah menguasai setiap lautan di dunia. Pada tahun 1914, British telah menguasai setiap pangkalan tentera laut di dunia dan menikmati kekuasaan laut yang tidak tertanding oleh sesiapapun.

Akibat daripada penguasaan itu, Britain telah turut menguasai perdagangan antarabangsa, penyebaran bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia telah berlaku (yang berlarutan hingga sekarang) dan penggunaan undang-undang ‘Common Law’ British telah diterapkan sebagai undang-undang kebangsaan dalam negara-negara jajahannya (termasuklah Malaysia hingga kini) .

3. Tempat di mana Dajjal berada akan menguasai ekonomi dunia. Begitulah Britain.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa zaman Dajjal (Akhir Zaman) adalah zaman riba.

"Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya.” (Sunan Ibn Majah)

"Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram.” (Sahih Muslim)

Bank of England iaitu bank pusat Britain, pada penubuhannya pada penghujung kurun ke-17, telah menjadi pelopor ke arah usaha penubuhan ekonomi riba dunia moden.

Ia melakukannya bukan hanya melalui cara memberi pinjaman dengan faedah (bunga) tetapi juga melalui menggantikan wang sebenar (wang sunnah – Dinar dan Dirham) dengan wang kertas.

Dengan itu, Bank of England menjadi pemberi pinjam wang dunia dan menjadi pengeluar mata wang kertas dunia.

Maka, seluruh mata wang di dunia telah disandarkan pada mata wang Pound Sterling pada ketika itu.

Dan ekonomi dunia adalah ekonomi yang parasnya ditentukan oleh mereka yang menguasai London.

Wallahu’alam.

Baca lagi...

Wednesday, February 11, 2009

al-Masih al-Dajjal (V)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Lalu setelah kita telah mengenali siapa itu Dajjal dan seterusnya memahami apakah tugas-tugasnya, kini kita bolehlah kembali untuk memahami hadis yang mula-mula hamba sertakan dahulu berkenaan Dajjal:

“Apabila Dajjal dibebaskan, dia akan hidup di muka bumi selama empat puluh hari; satu hari seperti setahun, satu hari seperti sebulan, satu hari seperti seminggu, dan hari-hari seterusnya sama seperti hari kamu.” (Sahih Muslim)

Maka menurut tafsiran Sheikh Imran N. Hosein berhubung hadis di atas dalam bukunya Jerusalem in the Qur'an, sewaktu Dajjal mula-mula dibebaskan ke muka bumi itu:

1. Dajjal dibebaskan di sebuah pulau (sila rujuk kembali hadis daripada Tamim ad-Dari yang hamba ditampilkan pada 30 Januari 2009)

2. Pulau yang dimaksudkan itu adalah, tiada yang lain, melainkan Britain

Maka inilah berupa penutup hamba kepada pengenalan al-Masih al-Dajjal.

Wallahu'alam.

Baca lagi...

Monday, February 9, 2009

al-Masih al-Dajjal (IV)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekalian.

Amma ba’du.

Pada saat orang-orang Yahudi itu menolak Rasulullah s.a.w. inilah, maka pintu taubat untuk mereka itu ditutup selama-lamanya. Pada saat ini jugalah turunnya wahyu berhubung penukaran kiblat umat Islam daripada Baitul Maqdis ke Kaabah di Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah.

"Orang-orang yang kurang akalnya di antara manusia akan berkata: Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya? Katakanlah: Kepunyaan Allah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.

Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan." (al-Baqarah: 142-144)


Bukan itu sahaja, malah Allah s.w.t. juga telah mewajibkan berpuasa di bulan Ramadan, iaitu dengan syariat yang baru – dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa." (al-Baqarah: 183)

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)..." (al-Baqarah: 185)

"...Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam..." (al-Baqarah:187)


Dengan penukaran-penukaran ini juga, bermakna termansuhlah sudah syariat-syariat yang diguna pakai oleh orang-orang Yahudi sebelum ini. Ia kini digantikan dengan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Syariat orang-orang Yahudi kini sudah tidak sah lagi.

Selain itu, tidak beberapa lama kemudian, Rasulullah s.a.w. turut mendapat mimpi bahawa Ya'juj wa Ma'juj juga telah dibebaskan dan turut mengesahkan pula bahawa al-Masih al-Dajjal pun dibebaskan juga.

Dengan pembebasan mereka maka bermulalah apa yang dipanggil sebagai zaman 'Fitan', yakni Akhir Zaman.

Dan permulaan Akhir Zaman ini juga membawa maksud bahawa pengiraan masa ke kiamat pun sudah bermula.

Lalu, pembebasan Dajjal adalah sebagai salah satu bentuk 'hukuman' kepada kaum Bani Israil kerana menolak keimanan kepada Rasulullah s.a.w. Maka sesungguhnya, Dajjal dicipta Allah s.w.t. sedemikian rupa untuk menyamar sebagai al-Masih Yang Sebenar.

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu memberitahukan bahawa sesungguhnya Dia akan mengirim kepada mereka (orang-orang Yahudi) sampai hari kiamat orang-orang yang akan menimpakan kepada mereka azab yang seburuk-buruknya. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-A'raf: 167)

Menurut Sheikh Imran N. Hosein dalam bukunya Jerusalem in the Qur'an, dalam penyamaran Dajjal ini, dia akan memperdayakan orang-orang Yahudi (dan juga umat manusia yang lain, yang mengamalkan cara dan gaya hidup seperti orang-orang Yahudi, yakni dengan tidak beriman kepada Allah s.w.t.) untuk menyangka bahawa dialah al-Masih yang telah dijanjikan Allah s.w.t. kepada mereka (seperti yang diwahyukan ketika mereka masih dalam tahanan sebagai hamba abdi di Babylon lebih 2,000 tahun dahulu), yang akan mengembalikan mereka semula ke Tanah Suci dan seterusnya memerintah dunia daripada takhta Nabi Daud a.s., untuk selanjutnya mengembalikan Zaman Emas kerajaan Nabi Sulaiman a.s. kepada mereka!

Jadi inilah sebab yang sebenar mengapa Dajjal diciptakan Allah s.w.t.

Tujuan utama pembebasannya ke dunia adalah untuk melakukan tugas ini.

Dajjal perlu memperdayakan orang-orang Yahudi bahawa dialah al-Masih Yang Sebenar.

Wallahu'alam.

Baca lagi...